Syarikat pembinaan langgar SOP dikompaun RM50,000 - Utusan Malaysia

Syarikat pembinaan langgar SOP dikompaun RM50,000

KAMARUL Zaman Mamat (kanan)  memeriksa dokumen sebuah syarikat pembinaan yang  melanggar SOP dalam Op Patuh di kawasan perindustrian Padang Meha, Kulim  hari ini. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM50,000 ke atas sebuah syarikat pembinaan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam Op Patuh di kawasan perindustrian Padang Meha, di sini hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemeriksaan kira-kira pukul 1 petang itu mendapati lebih 200 pekerja yang kebanyakannya warga asing sedang melakukan kerja-kerja pembinaan sebuah kilang.

“Syarikat terbabit didapati mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kerja-kerja pembinaan infrastruktur pembinaan iaitu pembinaan empangan, saliran dan pembentungan.

“Bagaimanapun kita mendapati syarikat itu menjalankan kerja-kerja pembinaan sebuah kilang yang tidak dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, selain itu, syarikat tersebut juga didapati melakukan kesalahan lain antaranya gagal memastikan kehadiran pekerja 60 peratus apabila seramai 220 pekerja hadir berdasarkan rekod buku kehadiran dan tidak menyediakan laluan keluar masuk.

“Polis juga mendapati tiada penjarakan fizikal di tapak pembinaan berkenaan,” ujarnya.

Kamarul Zaman memberitahu, seramai 41 pekerja ditahan dan selebihnya dipercayai sempat melarikan diri.

“Kesemua pekerja warga asing yang ditahan itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut bagi menyemak sama ada mereka mempunyai dokumen sah berada di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 836 kilang, tapak pembinaan dan asrama di seluruh negeri ini telah diperiksa dengan 78 kompaun dikeluarkan sejak 26 Julai lalu hingga semalam. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN