Syarikat didenda RM35,000 sebabkan kematian dua pekerja  - Utusan Malaysia

Syarikat didenda RM35,000 sebabkan kematian dua pekerja 

PENGARAH syarikat pemasangan perancah besi didenda RM35,000 kerana gagal memastikan tahap keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan kematian dua pekerja warga Myanmar tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah syarikat pemasangan perancah besi didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana gagal memastikan tahap keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan kematian dua pekerja warga Myanmar, tahun lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan memberitahu, syarikat itu sebagai majikan dijatuhi denda tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Syarikat Team Scaffolding and Insulation Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Lau Kiew Ling, 39, juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dengan perancah yang dipasang di tingkat enam calciner kiln tiga tidak mengikut reka bentuk yang selamat sehingga mengakibatkan dua orang pekerja iaitu Nay Lin, 25, dan Maung Maung Win, 32, mengalami kemalangan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Kejadian itu berlaku di Tasek Corporation Berhad, Persiaran Tasek, Tasek Industrial Estate pada pukul 12 tengahari, 5 Oktober 2020.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Hasan Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.