Syahirah Syazwani juara Chinese Bridge Competition Malaysia - Utusan Malaysia

Syahirah Syazwani juara Chinese Bridge Competition Malaysia

SYAHIRAH Syazwani Shamsudin menang tempat pertama pertandingan Chinese Bridge Competition Malaysia Preliminary 2021. - FOTO IHSAN UMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menempa nama di peringkat antarabangsa selepas memperoleh kejayaan dalam Chinese Bridge Competition Malaysia Preliminary 2021 anjuran Kedutaan China dengan kerjasama Institut Kongzi Universiti Malaya baru-baru ini.

Pertandingan Chinese Bridge ialah pertandingan tahunan antarabangsa yang dianjurkan Kementerian Pendidikan China dan menilai peserta menerusi ujian soal jawab, persembahan serta pengucapan awam.

Pengarah Institut Konfusius (CI) UMP, Yong Ying Mei berkata, dalam pertandingan tersebut siswa daripada Fakulti Komputeran UMP, Syahirah Syazwani Shamsudin berjaya memenangi tempat pertama bagi keseluruhan pertandingan.

Menurutnya, dengan kejayaan itu Syahirah Syazwani bakal mewakili negara dalam pertandingan yang sama di peringkat antarabangsa pada penghujung tahun ini bersama calon-calon yang mempelajari Bahasa Mandarin sebagai bahasa asing dari benua Asia, Eropah, Afrika, Amerika dan Australia.

“Turut sama menyertai pertandingan kali ini adalah Adelia Febriani Zaid, P. Panita, Muhammad Hasraf Aikal Khairul Ihsan dan Khazimah Damia Rosfauwizamzamar.

“Pihak CI UMP akan terus melatih pelajar dalam persediaan Pertandingan Chinese Bridge di peringkat antarabangsa walaupun berdepan pandemik Covid-19.

“Dengan kekangan ini, tidak menghalang program dijalankan secara dalam talian dan pastinya mampu menyampaikan persembahan dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kewujudan CI UMP berjaya memanfaatkan pelajar UMP dalam meningkatkan kemahiran bertutur dalam Bahasa Mandarin.

Di samping itu, pelajar turut berpeluang memahami budaya masyarakat Cina melalui penganjuran aktiviti, pertandingan Bahasa, pameran kebudayaan, program mobiliti dan program kerjasama.

Sementara itu, Ying Mei berkata, buat kali keduanya UMP bakal mewakili negara setelah kejayaan pelajar Fakulti Komputeran, Jamunaa Patchappan yang mewakili negara pada 2013.

“Pelajar yang memasuki pertandingan ini pernah dilatih oleh Volunteer Language Teacher (VLT) dengan sokongan Pengarah CI UMP (China), Profesor Dr Guo Fuliang.

“Terima kasih kepada sokongan pihak universiti dalam penglibatan pelajar dalam pertandingan bahasa peringkat di UMP, mahupun peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN