DUNGUN: Seorang suri rumah maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari di Kilometer 99, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Rosnani Salleh, 47, dari Taman Murni Perdana, Paka meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu bergesel dengan sebuah lori, arah sama.
“Lori berkenaan tidak memberhentikan kenderaan dan setakat ini kita masih tidak dapat mengenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya,” katanya ketika dihubungi.
Baharudin meminta orang awam yang melihat kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










