Speaker yakin DUN Johor berlangsung tertib, tidak seperti di Parlimen - Utusan Malaysia

Speaker yakin DUN Johor berlangsung tertib, tidak seperti di Parlimen

SUHAIZAN Kaiat (dua kanan) bersama pimpinan Amanah Kawasan Johor Bahru membuat laporan polis terhadap Takiyudin Hassan di Balai Polis Tampoi, di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat yakin persidangan DUN yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini berjalan dengan tertib, tidak seperti persidangan Dewan Rakyat yang menyaksikan ‘percakaran’ antara wakil rakyat.

Beliau berkata, hal itu kerana keadaan di Johor berbeza jika hendak dibandingkan dengan keadaan di Parlimen.

“Kita di Johor agak berbeza sedikit, saya sendiri sudah menjadi Speaker DUN selama tiga tahun, biasanya ia dijalankan dalam keadaan tertib. Belum ada situasi seperti yang disaksikan di Parlimen.

“Saya yakin, Sidang DUN Johor akan berjalan dengan lancar, perbezaan pendapat itu biasa tetapi kebiasaannya ia dalam keadaan yang terkawal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu bersama Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Johor Bahru membuat laporan polis berhubung isu penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berdukacita dengan tindakan kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat walhal perkara itu belum mendapat perkenan Baginda.

Sementara itu, Suhaizan turut percaya Sidang DUN Johor akan memberi tumpuan kepada permasalahan dihadapi rakyat dan langkah pemulihan khususnya dalam tempoh yang mencabar akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

“Sekarang isu utama adalah Covid-19 dengan terdapat peningkatan kes setiap hari, jadi saya kira Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) akan bentangkan usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat di Johor selain turut menumpukan kepada usaha pemulihan.

“Pertama dari segi masalah kesan kehidupan atau kewangan masyarakat, kedua dari segi bagaimana pengawalan, vaksinasi dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, kakitangan kerajaan serta petugas media terlibat dengan Sidang DUN Johor akan menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum persidangan bermula. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN