KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diuji di Parlimen, kata Ketua Pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar kali kedua di Parlimen berkata, hanya dengan cara yang dapat menentukan sama ada Muhyiddin mempunyai majoriti atau sebaliknya.
Kenyataan Anwar itu susulan daripada penjelasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen yang masih bersamanya hari ini.
“Ismail Sabri dia tahu undang-undang, dia patut test (uji) di Dewan. Sebab apa takut uji di Dewan? Dia menteri, dia anak Pahang, dia faham tak derhaka? Dia faham tidak titah diraja? Dia faham tidak peranan Parlimen?
“Orang seperti ini berdegil, berkeras derhaka dalam soal yang jelas. Saya nak nasihatkan dia, baca undang-undang, hormati Perlembagaan dan hormati titah Tuanku Yang di-pertuan Agong,” katanya.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu. – UTUSAN ONLINE