Stesen Colosseum baharu di Rom jadi muzium khazanah purba

Stesen Colosseum baharu di Rom jadi muzium khazanah purba

PEJALAN kaki memasuki stesen Metro Colosseo baharu yang direka sebagai muzium berhampiran Colosseum di Rom, Itali. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik pintu masuk stesen metro terbaharu Rom di bawah Colosseum, terdapat peti pameran memuatkan ratusan artifak purba yang ditemui sepanjang projek pembinaan yang mengambil masa lebih 10 tahun.

Terletak di empat aras hingga kedalaman 32 meter di tengah-tengah Rom, stesen ‘Colosseo-Fori Imperiali’ pada laluan C yang dibuka minggu lalu merupakan satu pencapaian kejuruteraan moden.

Dengan harga tiket hanya 1.5 euro (RM7.5), pengunjung boleh mengakses muzium bawah tanah stesen itu yang mempamerkan 350 khazanah daripada kendi seramik dan lampu, hingga patung gangsa dan pedang kayu.

Sedikit jauh ke dalam, pengunjung boleh melihat sisa-sisa rumah mandi milik seorang Rom purba yang kaya.

Rom purba dibina secara bertingkat. Kuil dan forum dibina di atas asas lama sebelum akhirnya ditutupi, mewujudkan lapisan tanah yang menarik untuk kajian arkeologi.

Di aras bawah, sebuah bukaan segitiga menawarkan pandangan unik ke arah Colosseum.

“Perkara paling penting yang berjaya kami lakukan adalah memberi gambaran tentang kehidupan seharian,” kata ahli arkeolog di taman arkeologi Colosseum, Elisa Cella semasa majlis pembukaannya.

Datuk Bandar Rom, Roberto Gualtieri menyifatkan pembukaan stesen itu sebagai peristiwa luar biasa dan bersejarah.

Beliau juga mempertahankan kerja pembinaan panjang dan mahal yang menimbulkan gangguan meluas kepada penduduk serta pelancong di kawasan itu selama bertahun-tahun.

Projek itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali kerana aduan serta penemuan tidak dijangka.
“Penggalian dan penemuan arkeologi ini bukan halangan,” katanya, sambil menyifatkannya sebagai peluang untuk mendedahkan masa lalu luar biasa bandar itu.

Berhadapan dengan kompleks geologi Rom yang unik, kerja penggalian menggunakan kaedah arkeologi menurun yang dibangunkan khusus untuk stesen bawah tanah di pusat bersejarah.

Kaedah ini melibatkan pemasangan pelantar perantara ketika penggalian dilakukan dari atas ke bawah, sekali gus memastikan kestabilan struktur.

Pada hari sama, stesen Porta Metronia turut dibuka di mana penggalian mendedahkan kompleks tentera besar dari abad ke-2 Masihi, termasuk kediaman yang dihias dengan lukisan dinding dan mozek.

Kediaman itu dibongkar, dipulihara dan kemudian dipasang semula di ruang yang kini boleh dikagumi pengunjung metro dari laluan pejalan kaki yang tinggi.

“Rom sentiasa dibina di atas dirinya sendiri,” kata Ketua Penggalian Muzium Porta Metronia, Simona Morretta.

Dimulakan pada 2007, pembinaan laluan C yang menghubungkan timur laut dan tenggara bandar itu menghadapi kelewatan ketara.
Setelah siap, laluan ini mempunyai 31 stesen sepanjang 29 kilometer. – AFP-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×