SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru perbahasan di Parlimen yang bersidang pada 26 Julai ini menumpukan kepada agenda menilai semula semua langkah kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan pemulihan ekonomi.
Perkara tersebut termasuk pengisytiharan darurat , langkah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) , isu vaksinasi , pakej ekonomi sehinggalah kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sidang Parlimen yang bakal dijalankan tidak harus menjadi sidang penerangan semata-mata.
“Rakyat mahu mendengar wakil rakyat mereka berbahas secara terperinci semua isu yang berkaitan, terutama soal menangani pandemik covid.
“Titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu perbahasan diadakan dalam sidang Parlimen dan Dewan Negara tidak wajar bertukar menjadi sesi taklimat. Tidak harus dua dewan demokrasi ini menjadi dewan taklimat tanpa perbahasan secara kritikal,”katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE










