Sidang DUN Negeri Sembilan awal September - Aminuddin

Sidang DUN Negeri Sembilan awal September

AMINUDDIN Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan diadakan selama empat hari pada minggu pertama bulan September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sidang DUN tersebut akan dimulakan pada 3 September dengan perasmian titah ucapan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Tambah beliau, persidangan akan diteruskan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan membahaskan titah ucapan Tuanku Muhriz selain beberapa Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibawa semasa persidangan DUN kali ini.

“Sidang DUN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 3 sehingga 8 September depan. Agendanya ia dimulakan dengan titah perasmian Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada hari Jumaat tersebut.

“Kemudian kita akan membahaskan titah ucapan baginda, ada beberapa RUU yang akan dibawa ke dalam persidangan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin memberitahu, persidangan DUN Negeri Sembilan dijangka diadakan pada minggu pertama Ogos ini dan ia telah diperkenankan oleh Tuanku Muhriz.

Sementara itu, sebelum sidang akhbar tersebut, Menteri Besar turut menyempurnakan pelancaran Inisiatif Takaful Khairat Kematian yang terbuka kepada rakyat di negeri ini yang layak tanpa mengira agama dan kaum.

Kata beliau, seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2021, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk caruman kepada anggaran seramai 34,562 orang ketua isi rumah.

Tambahnya, ia berdasarkan senarai e-Kasih Negeri Sembilan mulai 1 Ogos 2021 dan Inisiatif Takaful Khairat Kematian tersebut adalah untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan.

“Inisiatif ini adalah sebagai tanda simpati dan menzahirkan rasa prihatin dalam membantu meringankan beban waris.

“Caruman akan dibuat secara berfasa dan turut memberi perlindungan tambahan kepada isteri dan dua orang anak yang berumur 18 tahun ke bawah. Caruman ini akan membolehkan waris menerima bantuan kecemasan  berjumlah RM2,000.00 selepas kematian individu yang dinamakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN