JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian masih belum menerima surat pemakluman awal daripada kerajaan negeri berhubung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 12 Ogos ini.
Osman berkata, beliau hanya mengetahui tentang perkara itu melalui laporan media arus perdana memaklumkan sidang DUN akan diadakan pada tarikh tersebut.
“Saya hanya tahu Sidang DUN akan dilakukan 12 Ogos ini melalui laporan akhbar dan belum menerima surat pemakluman awal mengenainya.
“Pembantu saya juga memberitahu surat tersebut dan surat untuk menghantar soalan bertulis serta soalan lisan juga belum diperoleh,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di sini hari ini.
Minggu lalu, kerajaan negeri menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang DUN Johor pada 12 Ogos.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya juga sudah menerima surat rasmi daripada Seri Paduka yang memberi perkenan sidang DUN diadakan pada tarikh tersebut.
Osman yang juga bekas Menteri Besar berkata, sidang DUN yang akan disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk penggal kedua tahun ini amat penting bagi membincangkan soal pengurusan pandemik dan pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura.
Katanya, tumpuan akan diberikan bagi mencurahkan pelbagai idea bagi membantu pihak kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 yang belum tamat ini.
“Dalam sidang ini, semua ADUN perlu bersama-sama berkongsi pendapat dan berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik melawan pandemik ini.
“Keduanya, mendesak kerajaan negeri bagi mengadakan perbincangan yang lebih intensif dengan Singapura berhubung isu pembukaan sempadan yang membenarkan rakyat di negeri ini boleh bekerja berulang-alik ke sana.
“Setidak-tidaknya memberikan kelonggaran kepada rakyat kita yang sudah melengkapkan dua dos vaksin untuk boleh bekerja di sana,” katanya.
Katanya, langkah itu perlu bagi mengatasi masalah membabitkan kira-kira 30,000 rakyat yang hilang kerja setelah pintu sempadan ditutup bagi mereka yang bekerja berulang-alik sejak tahun lalu.
Jelasnya, ia juga dapat menyelesaikan masalah gelandangan yang sebahagian daripadanya merupakan individu yang hilang pekerjaan di seberang tambak itu sehingga hilang arah tuju serta enggan pulang ke kampung halaman.