PUTRAJAYA: Semua perkhidmatan kaunter kerajaan di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditutup sepenuhnya, bermula hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, bagaimanapun ia tidak melibatykan perkhidmatan kesihatan, balai polis dan kaunter di pintu masuk antarabangsa yang membabitkan kastam, imigresen dan kuarantin.
Katanya, ketika ini, perkhidmatan kaunter kerajaan di seluruh negara sudah dibuka semula bermula Khamis lalu sebagaimana arahan yang dikeluarkan pada 29 Jun lalu.
“Menteri Kanan Pertahanan (Keselamatan) sudah mengumumkan pelaksanaan PKPD di mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula 3 Julai hingga 16 Julai.
“Selaras dengan arahan itu, prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian Pejabat Kerajaan sepanjang tempoh PKPD bagi kawasan terbabit akan mengguna pakai arahan pengoperasian Pejabat Kerajaan yang dikeluarkan pada 30 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.










