PETALING JAYA: Pas mengarahkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara parti itu untuk turun padang memastikan kebajikan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 terbela.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka juga diarahkan untuk menggerakkan program bantuan Bakul Makanan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) baru-baru ini.
“Peruntukan kerajaan kepada setiap ahli Parlimen serta penambahan RM300,000 melalui Pemulih hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya kepada rakyat yang memerlukan.
“Pas sentiasa komited dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan kebajikan atas dasar Islam mengajarkan umatnya untuk hidup bermasyarakat dengan saling berkenalan serta tolong menolong.
“Bagi tujuan tersebut, semua ahli Parlimen dan Senator diarahkan segera menggerakkan program bantuan Bakul Makanan dan turun padang menjaga kebajikan golongan yang terjejas dengan memanfaatkan segala kemudahan yang telah disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri dalam pengumuman khas Pemulih memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang sebagai tambahan kepada program bantuan Bakul Makanan sedia ada di bawah Pemulih.
Bantuan itu bagi melaksanakan bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga telah menggiatkan bantuan kit makanan melalui Badan Perhubungan Pas Negeri-Negeri dan kawasan-kawasan bagi membantu isi rumah yang terjejas akibat wabak itu.
“Semoga usaha ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dan semua umat Islam diseru untuk terus berdoa agar wabak ini diangkat segera oleh Allah,” katanya.










