Selangor mampu beralih ke fasa dua PPN Ogos ini - Utusan Malaysia

Selangor mampu beralih ke fasa dua PPN Ogos ini

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Selangor mampu memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini seperti beberapa negeri lain sekiranya memenuhi beberapa indikator ditetapkan, antaranya kadar pengambilan vaksinasi dalam kalangan dewasa mencecah 10 peratus.

Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari berkata, indikator lain yang perlu diambil kira adalah mengenai kedudukan kes baharu Covid-19 dan kedudukan sistem kesihatan awam di negeri tersebut.

“Sebelum beralih ke fasa seterusnya, kita perlu lihat dari segi sistem kesihatan awam meliputi penggunaan katil, begitu juga di unit rawatan rapi (ICU) serta berapa banyak kadar vaksinasi sama ada sudah mencapai 10 peratus atau tidak sebelum Selangor boleh memasuki fasa dua PPN.

“Bagaimanapun, dilihat kini sistem kesihatan awam di Selangor masih lagi terhad dengan kes baharu Covid-19 yang melonjak tinggi. Berikutan situasi itu, pengalihan fasa belum boleh dilakukan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan PKPD bersasar di Taman Murni di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sungguhpun demikian, pihaknya menjangkakan Selangor boleh memasuki fasa dua dan seterusnya pada bulan Ogos atau September ini.

“Kalau kita berjaya lengkapkan dua minggu atau sebulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Selangor, saya percaya pada bulan Ogos atau September nanti Selangor akan memasuki fasa dua dan tiga dengan pantas, ditambah dengan kadar vaksinasi yang diterima,” jelasnya.

Menurut Amirudin, untuk makluman kadar vaksinasi di Selangor bergerak dengan pantas dengan sejumlah 80,000 dos suntikan pelalian dibuat dalam sehari.

“Kalau ikut rancangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), 80 peratus populasi penerima dewasa akan mencapai Ogos atau September dan jika semua berjalan dengan baik, Selangor akan lebih pantas memasuki fasa seterusnya. 

“Namun begitu, kena lihat juga keadaan kes dan juga sistem kesihatan awam supaya tidak terbeban,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Selangor adalah untuk menyelamat dan mempertahan sistem kesihatan negara menerusi ujian saringan yang diperhebat di kawasan terbabit. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN