Sekarang bukan masa untuk berpolitik - TMJ - Utusan Malaysia

Sekarang bukan masa untuk berpolitik – TMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar semua ahli politik khususnya di negeri ini untuk melakukan gencatan politik buat sementara, sebaliknya berikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat. 

Tunku Ismail menitahkan agar pemimpin politik mengetepikan segala perbezaan yang dimiliki mereka dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

“Saya ingin memberi pandangan dan nasihat yang ikhlas kepada semua ahli politik di Johor ataupun mana-mana. 

“Anda harus memberikan keutamaan kepada krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang kini berada di tahap yang amat membimbangkan. 

“Sekarang bukan masa untuk berpolitik. Anda semua dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Tunku Ismail turut bertitah agar semua ahli politik memberi tumpuan kepada melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan cuba sedaya boleh untuk memerangi pandemik ini.

“Ketepikan segala perbezaan politik, lakukan genjatan politik buat sementara ini dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat. 

“Ini adalah masa untuk berkhidmat dan membantu rakyat,” titah Tunku Ismail.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh dilaporkan berkata, empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

Jika situasi tersebut berlaku, kerajaan PN Johor dijangka tumbang kerana ketika ini, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN