‘Saya hilang kata-kata’ - Utusan Malaysia

‘Saya hilang kata-kata’

GAMBAR kenangan Mohd. Fadli Abd. Wahab dan Umaisarah Azmi bersama dua anak mereka, Mohd. Danish Haikal serta Mohd. Adam Raykal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dugaan buat jurujual kereta apabila dua anak­nya, masing-masing berusia tiga dan enam tahun mencari-cari ibu mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 semalam.

Mohd. Fadli Abd. Wahab, 35, berkata, Mohd. Danish Haikal, 3, dan abangnya, Mohd. Adam Raykal, 6, sukar memahami kejadian menimpa ibu mereka, Umaisarah Azmi, 25, yang sarat mengandung dan sepatutnya bersalin anak perempuan pada September ini.

Menurutnya, Mohd. Adam Raykal tetap mahu ibunya pulang untuk tidur bersamanya seperti sebelum ini.

“Saya hilang kata-kata setiap kali dia menangis dan merengek mahu ibunya pulang kerana buntu memikirkan cara untuk menenangkannya.

“Ini kerana sebelum tidur setiap malam, mereka saling mengusap perut ibu mereka yang sarat mengandung,” ketika ditemui di Kampung di Kampung Pokok Asam, Pinang Tunggal di sini semalam.
Umaisarah meninggal dunia pada pukul 1.25 petang di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Mohd. Fadli yang bekerja di sebuah pusat menjual kereta terpakai di Padang Temusu dekat sini membawa isterinya ke HSAH selepas wanita itu mengalami sesak nafas di rumahnya pada pukul 5.05 pagi.

Kata lelaki itu, dia juga faham perasaan anak sulungnya, Mohd. Adam yang kini lebih banyak mendiamkan diri selepas memahami ibunya tidak akan pulang lagi.

“Disebabkan isteri tidak be­kerja, dua anak kami memang sentiasa bersamanya di rumah menyebabkan mereka terasa ketiadaannya selepas kejadian itu.

“Walaupun saya sendiri sedih kerana kehilangannya, saya perlu memberi semangat dan kekuatan kepada dua anak lelaki saya untuk menghadapi dugaan ini,” katanya.

Mohd. Fadli memberitahu, jenazah isterinya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di pekarangan Masjid Kampung Pokok Asam di sini selepas selesai proses bedah siasat dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN