Satu pertiga penerima Peka B40 dikesan hidap penyakit tidak berjangkit - Utusan Malaysia

Satu pertiga penerima Peka B40 dikesan hidap penyakit tidak berjangkit

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 33 peratus daripada 457,462 penerima Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (Peka B40) dikesan ada sekurang-kurangnya satu penyakit yang tidak berjangkit (NCD).

 Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika mendedahkan perkara itu berkata, ia melibatkan 151,729 penerima berdasarkan Laporan Peka B40 2019-2020 yang dilancarkan hari ini.

 “Mereka sebelum ini tidak tahu ada menghidap NCD sehinggalah menyertai Peka B40 kerana selama ini tidak pernah pun buat saringan kesihatan atau terima rawatan susulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan secara rasmi laporan itu secara maya.

 Skim tersebut diuruskan sebuah anak syarikat tidak berasaskan keuntungan dan milik penuh kementerian, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. yang diperbadankan pada 2016 lalu.

 Ia turut memberi manfaat saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif rawatan kanser berjumlah RM1,000 dan tambang pengangkutan sebanyak RM1,000.

 Peka B40 banyak memfokuskan kepada NCD dan saringan diberikan secara percuma kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

 Mengulas lanjut, Adham berkata, antara penyakit dihidap mereka adalah kolesterol tinggi (29.8 peratus), darah tinggi (13.8 peratus), kencing manis (10.4 peratus) dan kesihatan mental (1.6 peratus).

 “Sebanyak RM62.5 juta dibelanjakan dari 15 April 2019 hingga 31 Disember lalu untuk skim ini bagi pengesanan NCD rakyat B40 di klinik awam dan juga swasta seluruh negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN