PETALING JAYA: Kumpulan hotel jenama tempatan, Royale Chulan Hotels & Resorts, bekerjasama dengan Megaklinik Zahran bagi menawarkan khidmat rawatan dan pusat kuarantin buat pesakit Covid-19 berisiko rendah di Kuala Lumpur.
Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur, Badrul Rezal Baharudin berkata, kerjasama itu diwujudkan setelah melihat pesakit Covid-19 yang sukar mencari ruang yang sesuai di dalam rumah bagi mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang lain, dan kegusaran pesakit mengharungi detik-detik berdepan dengan virus Covid-19.
“Sejumlah 230 kamar lima bintang menawarkan ruang kepada pesakit bagi menjalankan kuarantin dengan lebih selesa dan lebih penting terdapat pasukan perubatan terlatih untuk memantau tahap kesihatan mereka pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Badrul Rezal, pakej yang disediakan termasuk sarapan, makan tengahari, dan makan malam, pemeriksaan kesihatan harian sebanyak tiga kali sehari, serta WiFi percuma turut diberi kepada pelanggan.
Selain itu, diskaun sebanyak 20 peratus akan diberi untuk makanan dan minuman dimana ia akan dihidangkan di bilik pesakit.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, sila hubungi 03-26889688. – UTUSAN ONLINE