PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan melancarkan Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) untuk pekerja sektor tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program itu bakal bermula pada 26 Julai ini di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIn) di Cititel Mid Valley City, Kuala Lumpur.
“Ia adalah lokasi pertama PPVIn Sektor Peruncitan dengan menyasarkan kapasiti 1,500 orang menerima vaksin setiap hari,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Katanya, dianggarkan 31,000 pekerja barisan hadapan sektor peruncitan dari sekitar Kuala Lumpur dapat divaksin sejajar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ini meliputi juruwang, jurujual, kru restoran, petugas stesen minyak, kru pasar raya, tukang gunting dan salon, staf pengurusan kompleks beli-belah serta pekerja rantaian pengedaran.
Pemberian vaksin kepada barisan hadapan ekonomi sektor itu jelasnya, mendapat prioriti tinggi kerajaan untuk memastikan keperluan harian pengguna adalah mencukupi di pasaran. – UTUSAN ONLINE










