LUMUT: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan pejabat daerah dan tanah di seluruh negeri digesa lebih proaktif dalam mengendalikan urusan berkaitan tanah ketika negeri itu sudah memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ini kerana ramai penduduk kini dikatakan resah kerana tidak dapat menjual atau mencagar tanah mereka terutama bagi mendapatkan pembiayaan bank atau kelangsungan hidup, susulan pejabat tanah di seluruh negeri yang masih belum beroperasi sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Astaka, Teoh Yee Chern berkata, beliau menerima banyak aduan daripada individu dan firma guaman mengenai kesukaran untuk melakukan transaksi sejak 22 Mei lalu sehingga sekarang terutama untuk akses portal pejabat tersebut.
Jelasnya, pada 29 Jun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali mengumumkan semua kaunter boleh dibuka secara fizikal melalui kaedah temu janji bermula 1 Julai manakala jabatan kerajaan negeri pula boleh berbuat demikian mulai 7 Julai lalu selepas Perak memasuki fasa kedua PPN mulai 5 Jun.
“Bagaimanapun, sehingga kini didapati masih sukar untuk akses ke portal PTG dan pejabat tanah walaupun dikatakan hanya membenarkan 40 urusan fail secara temu janji sahaja dibenarkan sehari.
“Saya berpendapat mungkin PTG dan pejabat tanah boleh mencontohi kaedah Jabatan Imigresen yang membenarkan pelanggan menempah tarikh temu janji jika hari lain sudah penuh ditempah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sehubungan itu, Yee Chern yang juga seorang peguam meminta Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad memandang serius dan melakukan sesuatu bagi mempermudah urusan berkaitan hal ehwal tanah dalam masa terdekat.
Menurutnya, kesukaran urusan itu bukan sahaja menyukarkan rakyat tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi dan hasil negeri.
Beliau mencadangkan PTG dan pejabat tanah menambah bilangan kakitangan yang boleh bekerja di pejabat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memudahkan urusan berkaitan tanah.
Yee Chern difahamkan ketika ini 80 peratus kakitangan bekerja dari rumah yang menyukarkan urusan berkaitan tanah terutama dalam mendapatkan geran tanah yang mana perlu hadir ke pejabat. – UTUSAN