Rakyat muak jika terus berpolitik - Utusan Malaysia

Rakyat muak jika terus berpolitik

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat akan terus muak dengan wakil rakyat jika terus berpolitik pada keadaan yang kini kritikal menghadapi pandemik Covid-19.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, seharusnya pada masa ini semua parti politik bergabung tenaga dalam membina semangat kebersamaan melawan pandemik tersebut.

“Saya sudah banyak kali sebut bahawa jika orang politik terus bertelagah, rakyat akan muak dengan semua ahli politik secara keseluruhan walaupun sebenarnya yang bermasalah hanya satu kluster kecil.  

“Alangkah baiknya jika semua parti dan ahli politik dapat berkongsi semangat kebersamaan itu. Dalam menghadapi krisis Covid-19, kita ketepikan perbezaan dan dahulukan keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa pandangan telah diberi kepada ketua-ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) untuk terus memberi tumpuan dalam menjaga kebajikan dan segala perkara yang berkaitan dengan perihal rakyat.

“Semangat kebersamaan memang wujud antara kelompok majoriti dalam kerajaan(PN). Saya rasa semangat kebersamaan sebeginilah yang sebenarnya dikehendaki rakyat. Semua pihak berhenti bertelagah dan tumpu kepada usaha memerangi Covid-19.

“Masa untuk bersaing dalam arena politik akan tiba pada Pilihan Raya Umum Ke-15. Tapi, sekarang, kita semua tumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dahulu,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Wan Saiful berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat adalah permulaan yang baik agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat.  

“Semua wakil rakyat perlu memainkan peranan membantu rakyat.Kita tolak tepi lah kluster mahkamah yang ada agenda peribadi. Saya yakin rakyat nampak sifat hipokrit mereka yang terdesak memperguna jentera politik untuk selamatkan diri.

“Tetapi bagi yang lain-lain, bukankah lebih baik jika kita semua menangguhkan persaingan politik dan bersama-sama membela rakyat dan membina ekonomi?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya