Rakyat bahu-membahu pemimpin siku-menyiku - Utusan Malaysia

Rakyat bahu-membahu pemimpin siku-menyiku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAJAH sama gajah bergaduh pelanduk mati di tengah-tengah. Itu bunyi peribahasa Melayu merujuk kepada pergaduhan yang membabitkan mereka yang ada kedudukan, kuasa, kekayaan, kepentingan dan seangkatan dengannya.

Jika golongan ini bergaduh, berkelahi, berperang atau berkonfrontasi kesannya sudah tentu terkena kepada golongan bawahan yang tidak mempunyai apa kepentingan selain hanya mahu meneruskan kehidupan normal.

Adakah situasi ini berlaku di negara kita sekarang? Kita harap ia tidak berlaku. Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang dilaksanakan sejak awal Jun lalu menyebabkan kehidupan tertekan, namun rakyat masih boleh berikhtiar. Yang mana sudah habis ikhtiar mereka akan kibarkan bendera putih, yang akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan sama ada daripada jiran-jiran sendiri atau individu yang masih bernasib baik dan situasi sukar ini selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bermotifkan publisiti murahan.

Kadang-kadang bantuan ini bukannya datang daripada mereka yang kaya-raya, ahli perniagaan, syarikat korporat atau NGO-NGO yang dianggotai selebriti, tetapi daripada jiran tetangga yang kita sendiri tidak sangka.

Di Rembau, Negeri Sembilan misalnya, pasangan suami isteri Tee Kok Beng dan Kuay Chew Yin hanya mengusahakan kedai runcit. Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk turut membantu golongan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Kok Beng, 58, dan Chew Yin, 44, mengambil inisiatif menyediakan bank makan mereka sendiri untuk yang memerlukan. Pasangan suami isteri itu menyediakan bungkusan makanan seperti beras dan biskut untuk membantu penduduk di kejiranannya. Mereka telah menyediakan 1870 bungkusan dalam tempoh lima hari.

Kok Beng dan Chew Yin merupakan contoh betapa rakyat negara ini tidak pernah mementing diri sendiri apabila jiran mereka berada dalam kesusahan. Di seluruh negara ramai lagi golongan yang berjiwa besar seperti suami isterinya yang turun naik rumah pangsa, pergi ke jalanan dan bergerak ke kampung-kampung untuk membantu rakan-rakan yang kesusahan ketika musim pandemik ini.

Dalam keadaan susah rakyat Malaysia saling bahu-membahu, bantu membantu antara satu sama lain supaya mereka yang tewas dalam perjuangan menentang pandemik ini tidak dibiarkan tanpa harapan. Di samping pelbagai dana yang diumum dan disalurkan oleh kerajaan, rakyat Malaysia sendiri yang prihatin telah membantu rakan-rakan yang kesusahan.

Banyak masjid dan rumah ibadat di seluruh negara turut menyediakan bank makanan atau gerobok rezeki mereka sendiri untuk membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik.

Sekurang-kurangnya mereka boleh berjimat dalam hal yang berkaitan makanan asas. Duit yang masih berbaki itu mungkin boleh digunakan untuk tujuan lain terutama menyediakan data telefon untuk anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah (PdPR).

Tentu ramai yang sedar bahawa PdPR ini memerlukan pakej data yang banyak kerana seorang anak yang bersekolah perlu mengikuti semua proses ini melalui komputer, laptop atau pun telefon pintar.

Selain ke kelas secara online, murid-murid juga perlu mengikuti program perhimpunan pagi, ko-kurikulum, ceramah motivasi dan lain-lainnya secara online. Semua ini memerlukan data. Pakej data yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi di Malaysia ini pula bukannya murah, walaupun untuk mendapatkan signalnya terpaksa daki bukit, panjat pokok, masuk hutan, masuk lombong, redah paya dan ladang getah atau kelapa sawit.

Namun, apa pilihan yang ibu bapa berpendapatan rendah ini ada? Biarpun menelan belanja ratusan ringgit sebulan, pembelajaran anak perlu diutamakan. Cuma apabila ada sikap saling bahu membahu ini dalam kalangan rakyat Malaysia ia dapat membantu meringankan bebanan golongan yang terjejas.

Dengan angka kes positif harian hampir mencecah 10,000 walaupun sudah hampir dua bulan PKP penuh dilaksanakan, bantuan dan sumbangan seperti ini tentunya sangat bermakna kepada mereka yang sudah kehabisan ikhtiar disebabkan wang simpanan semakin berkurangan, sumber pendapatan terputus, tempat kerja ditutup dan segala macam lagi.

Cuma apa yang dikesalkan, ketika sesetengah rakyat merintih menahan derita, pemimpin-pemimpin kita pula sibuk siku menyiku untuk mempertahankan kuasa. Ketika pandemik sedang memuncak ini, tiba-tiba UMNO muncul dengan idea untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mungkin itu percaturan politik UMNO untuk mendapatkan kembali kuasa yang hilang selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), tetapi kenapa pilih masa rakyat susah? Ketika rakyat terpaksa berkurung di rumah akibat pelaksanaan PKP, ketika kes positif harian hampir mencecah 10,000?

Apakah keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan bahawa Ahli Parlimen parti itu menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tepat? Pertembungan Ahmad Zahid dan Muhyiddin ketika gelombang pandemik Covid-19 terus meningkat menjengkelkan rakyat.

Andai kata sebahagian Ahli Parlimen UMNO itu benar-benar menarik sokongan ke Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, apa akan jadi kepada kerajaan? Apa akan jadi kepada segala usaha melawan Covid-19 ini? Apa akan jadi kepada rakyat.

Memang betul usaha negara kita menangani Covid tidak akan terhenti hanya bila seorang Perdana Menteri bertukar, seperti yang dikatakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, namun jika perubahan berlaku sedikit sebanyak akan menjejaskan usaha yang sudah sedia dilaksanakan. Ibarat kata pepatah apabila berlaku bah, pasir pasti akan berubah. Sudah tentu apabila berlaku perubahan pada pucuk pimpinan akan ada polisi yang berubah. Akan ada perubahan perjawatan dan sebagainya.

Perubahan-perubahan yang berlaku sudah tentu akan mengganggu perjalanan apam juga usaha yang sudah dilaksanakan dalam menangani pandemik yang belum menunjukkan tanda-tanda akan surut ini.

Dalam situasi sekarang baru kita faham maksud sebenar #kitajagakita. Kita juga berdoa agar situasi gajah sama gajah bergaduh tidak berlaku ketika kehidupan majoriti rakyat terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya