Pulau Pinang capai sasaran 30,000 dos vaksin Covid-19 sehari - Utusan Malaysia

Pulau Pinang capai sasaran 30,000 dos vaksin Covid-19 sehari

CHOW Kon Yeow ketika meninjau operasi salah sebuah PPV di Pulau Pinang yang kini mencecah 30,000 dos suntikan sehari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang mencapai sasaran suntikan sebanyak 30,000 dos vaksin Covid-19 dalam sehari ke arah sasaran membolehkan negeri ini memasuki Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) seterusnya mencapai imuniti kelompok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kadar suntikan harian sebanyak 30,055 dos vaksin berjaya dicapai semalam sekali gus merupakan pencapaian terbaik setakat ini.

Jelasnya, dengan jumlah dos itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan Pulau Pinang kini berada di tempat keenam dari segi pemberian vaksin berbanding negeri-negeri lain.

“Sehingga pukul 11.59 malam tadi, pecahan menunjukkan Pulau Pinang telah menyempurnakan 571,164 dos suntikan pertama dengan kadar 32.2 peratus berbanding jumlah populasi dan 41.8 peratus bagi kadar populasi dewasa.

“Kita juga telah menyelesaikan pemberian 240,038 dos kedua yang merupakan 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, setakat Rabu lalu, bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa Ketiga, Jabatan Kesihatan negeri melaporkan seramai 207,607 penduduk telah menerima dos suntikan vaksin pertama dan kedua (27,229).

Tambahnya, ketika ini terdapat 12 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Pulau Pinang yang sedang beroperasi termasuk di empat buah hospital kerajaan.

Selain itu juga jelasnya, terdapat dua PPV integrasi; mega (1); institusi pengajian tinggi (2); hospital swasta (10) dan pengamal perubatan am (58) yang dikhaskan untuk orang awam dengan kapasiti dos suntikan maksimum 20,830 sehari.

Dalam pada itu katanya, pada Isnin depan sebuah PPV pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dibuka di Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) dengan kapasiti 1,000 suntikan sehari.

“Terdapat sembilan PPV di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) turut beroperasi kini dengan jumlah kapasiti 10,200 dos sehari.

“Ini membuktikan selain sektor industri, kerajaan negeri turut memberi keutamaan kepada pengoperasian PPV awam bagi vaksinasi rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN