Proses tender patuh SOP, integriti - Utusan Malaysia

Proses tender patuh SOP, integriti

Pengambilalihan MAHB
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menegaskan proses pemerolehan semua tendernya dijalankan dalam pematuhan yang ketat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan penuh integriti.

Syarikat pengurusan lapangan terbang itu berkata, proses pemerolehannya menerima pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang berfungsi sebagai perlindungan tambahan untuk menyediakan lapisan kawalan integriti dalam proses syarikat.

“Kawalan diletakkan di kedua-dua peringkat manusia dan proses serta akan berfungsi sebagai intervensi untuk menutup sebarang kemungkinan jurang yang ada. MAHB juga memberi jaminan semua proses itu tertakluk dan mengikut tadbir urus korporat kami.

“Pendekatan tender standard MAHB dijalankan menerusi pertandingan terbuka di mana semua maklumat tender diagihkan secara telus dan adil kepada pembida yang terlibat daripada permulaan proses tender hingga penutupnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MAHB, laporan media berkenaan proses tender Penggerak Penumpang Automatik (APM) serta Ujian dan Saringan Peribadi Covid-19 untuk Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini telah menimbulkan salah faham bahawa kedua-dua tender tersebut sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas syarikat itu, dakwaan itu tidak benar kerana SPRM hanya meminta maklumat dan dokumentasi berkenaan penganugerahan kontrak Ujian dan Saringan Peribadi Covid-19 dan tiada apa-apa permintaan susulan daripada SPRM selepas MAHB memberikan kerjasama penuh.

Jelas MAHB, siasatan itu juga tidak melibatkan tender APM.

Menurut kumpulan itu, penilaian tendernya dijalankan menerusi tiga peringkat di mana setiap daripadanya dilaksanakan secara bebas oleh pasukan kepakaran berbeza.

“Proses itu dilakukan bagi memastikan hanya tender yang memenuhi ketiga-tiga peringkat itu akan dinilai di peringkat akhir, iaitu tawaran komersial dan seterusnya diberikan kepada cadangan terbaik.

“Penting juga untuk diperhatikan bahawa kriteria penilaian untuk setiap peringkat adalah spesifik, dapat diukur dan dianggap perlu untuk menjayakan projek itu. Untuk ketelusan yang lengkap, menjadi amalan kami untuk mendedahkan kriteria tersebut kepada pembida pada permulaan tender,” jelasnya.

MAHB memaklumkan, pada dasarnya, pemberian tender terutamanya yang bernilai tinggi atau berstrategik untuk kepentingan awam diputuskan oleh Jawatankuasa Pemerolehan Lembaga atau Lembaga utama di bawah kelulusan tadbir urus MAHB semasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN