JOHOR BAHRU: Polis Johor Bahru Selatan (JBS) akan menjalankan siasatan berhubung tular video di aplikasi WhatsApp sekumpulan individu yang berkumpul makan durian di bandar raya ini.
Perbuatan yang dirakam dalam video pendek itu dipercayai berlaku di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 3.41 petang tadi.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung laporan tersebut berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
“Kita sudah menerima laporan berhubung video yang tular memaparkan sekumpulan individu yang berkumpul.
“Polis sedang mengenal pasti sama ada petugas di PPV terbabit terlibat dalam video berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam video berdurasi 26 saat itu, kelihatan kira-kira 20 individu berkumpul di bahagian tepi dewan dipercayai PPV Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di bandar raya untuk makan durian.
Turut kelihatan beberapa wanita berpakaian seragam jururawat dalam video yang tular itu.
Mohd. Padzli berkata, kes akan disiasat dibawah peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.