SUNGAI PETANI: Polis memberi jaminan siasatan ke atas kes kematian seorang lelaki selepas ditahan penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan di Kuala Muda, 20 Julai lalu dilakukan secara menyeluruh dan adil.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita memberi jaminan kes ini disiasat secara menyeluruh dan adil mengikut lunas undang-undang.
“Malah, waris mangsa telah diberitahu tentang perkembangan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang persepsi negatif ke atas kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, sebelum ini pihaknya telah membuka dua kertas siasatan bersabit laporan polis yang diterima mengenai tangkapan seorang lelaki berusia 24 tahun oleh sebuah agensi penguat kuasa di daerah Kuala Muda di bawah Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1988, masing-masing pada 18 dan 19 Julai lalu.
“Dalam laporan itu dinyatakan pegawai penguat kuasa agensi terbabit mengalami kecederaan akibat pergelutan semasa tangkapan dijalankan ke atas suspek.
“Satu lagi kertas siasatan dibuka pihak kita apabila kakak mangsa membuat laporan menyatakan tidak berpuas hati terhadap proses tangkapan melibatkan adik lelakinya oleh agensi itu,” ujarnya.
Menurut Kamarul Zaman, ekoran kematian lelaki terbabit di hospital pada 20 Julai lalu, pihaknya mengklasifikasikan semula kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. – UTUSAN ONLINE










