IPOH: Kertas siasatan berhubung kes sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh, di sini untuk mengambil pesanan nasi ganja akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan yang mana keterangan beberapa individu diambil termasuk pengadu, pemilik premis makanan dan pemilik syarikat helikopter.
Malah katanya, ketua polis balai yang memberi kebenaran rentas negeri juga telah diambil percakapannya.
“Hasil siasatan mendapati, helikopter itu mempunyai kebenaran rentas negeri namun kebenaran itu diberikan bagi melakukan penyelenggaraan helikopter, bukannya bertujuan membawa tempahan nasi ganja.
“Siasatan kes ini masih lagi diteruskan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali memanipulasi kenyataan yang dikeluarkan pengamal media bagi mengelak berlaku spekulasi yang dikhuatiri mengganggu siasatan.
“Jangan manipulasi kenyataan yang dikeluarkan sebaliknya baca dan fahami keseluruhan isi kandungan berita yang hendak disampaikan.
“Ini bagi mengelak berlaku spekulasi yang akan mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Semalam, Mior Farid ketika dihubungi memberitahu, helikopter Bell 505 Global Ranger itu mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis Selangor, namu kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh.
Menerusi laporan akhbar Jumaat lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di Padang Ipoh pada pukul 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.
Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja. – UTUSAN ONLINE