TANGKAK: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak memohon orang ramai atau majikan yang kehilangan pekerja untuk tampil membuat pengecaman ke atas satu mayat lelaki yang meninggal dunia kira-kira tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, mayat dipercayai warganegara asing tanpa sebarang identiti itu ditemukan mati tergantung pada 11 April lalu dalam sebuah pondok di kebun sayur, di sini.
“Mayat dipercayai berusia 40-an itu ditemukan mati dengan cara menggantung diri dalam pondok kayu menyimpan enjin pengepam air di kebun sayur beralamat 83, Batu 18 Sengkang, Bukit Gambir.
“Mayat ditemukan pada pukul 8.30 malam oleh anak saudara kepada pemilik kebun yang berada di tempat kejadian. Sewaktu ditemukan, mayat lengkap berpakaian t-shirt berwarna biru dan berseluar jean biru gelap,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fadhil, usaha mengesan identiti mangsa masih dijalankan dan sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit diminta datang ke balai polis berdekatan atau hubungi Ketua Balai Polis Bukit Gambir, Sub Inspektor Abdul Samat Abd. Rahman di talian 06-976 1222.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN