PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin angkuh dalam kenyataan balasnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan isu Ordinan Darurat yang dimansuhkan tanpa perkenan Agong.
Majlis Presiden PH mendakwa, kerajaan pimpinan Muhyiddin telah hilang majoriti untuk membentuk kerajaan dan mereka haruslah sedar dan meletak jawatan.
“Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
“Kerajaan Perikatan Nasional dan seluruh Kabinet telah hilang keabsahan kerana kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat serta kelayakan dan kewibawaan sebagai pemimpin apabila Perdana Menteri dan Menteri gagal menjunjung titah Tuanku agar Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diputus untuk diungkaikan di Parlimen,” jelasnya.
Kenyataan media bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Terdahulu, kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen merangkap Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu, yang berkata bahawa kerajaan telah membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai.
Bagaimanapun, kenyataan Istana Negara semalam jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut dan Takiyuddin telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Majlis Presiden PH menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PH) telah hilang jalinan hubungan baik dan tidak lagi taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong tidak mungkin bertahan.
“Perdana Menteri dan menteri gagal menjunjung titah Tuanku agar Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diputus untuk diungkaikan di Parlimen, serta apabila Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Peguam Negara juga telah gagal menjalankan tugas rasminya untuk memberi nasihat perundangan kepada Yang di-Pertuan Agong secara neutral dan bebas tanpa memihak kepada Muhyiddin,” katanya. – UTUSAN ONLINE