Swastakan pengurusan asrama sekolah

Swastakan pengurusan asrama sekolah

PENSWASTAAN pengurusan asrama berpotensi memberi impak jangka panjang yang positif terhadap sistem pendidikan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGURUSAN asrama merupakan komponen penting dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar sentiasa terpelihara, terutamanya bagi yang tinggal di kawasan sekolah atau institusi pendidikan.

Namun begitu, realiti semasa menunjukkan beban pengurusan asrama masih banyak ditanggung oguru, yang pada masa sama memikul tanggungjawab utama dalam bilik darjah. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa membahagikan tumpuan antara tugas hakiki sebagai pendidik dan urusan pentadbiran asrama seperti penyediaan makanan, kawalan keselamatan, penyelenggaraan kemudahan serta pengurusan jadual harian pelajar.

Penswastaan pengurusan asrama membawa maksud penyerahan sepenuhnya urusan pentadbiran dan operasi asrama kepada pihak swasta yang berkelayakan, sementara guru serta pentadbiran sekolah hanya bertindak sebagai pemantau dan penilai perkhidmatan.

Dengan cara ini, pihak swasta dapat melaksanakan tanggungjawab secara profesional, terutama dalam aspek penyediaan makanan berkualiti, penyelenggaraan bangunan, pengurusan kemudahan fizikal dan kebersihan serta aspek keselamatan pelajar yang lebih menyeluruh.

Guru pula dapat kembali fokus kepada fungsi utama iaitu mendidik, membimbing dan membina potensi pelajar secara menyeluruh.

Lebih penting lagi, pihak swasta yang diberi tanggungjawab mengurus asrama lazimnya memiliki kepakaran dan sistem operasi yang lebih efisien. Contoh, syarikat katering profesional mampu menyediakan makanan berkhasiat mengikut piawaian kesihatan, sementara syarikat keselamatan yang berlesen dapat menjalankan rondaan dan kawalan yang lebih berkesan.

Pendekatan ini memberikan pembahagian tugas yang jelas. Pihak swasta mengurus aspek logistik dan teknikal manakala pihak sekolah menumpukan kepada pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Selain meningkatkan kecekapan, penswastaan juga memberi ruang kepada penambahbaikan berterusan. Pihak swasta lebih fleksibel dalam menyesuaikan kemudahan asrama mengikut keperluan semasa seperti menambah bilik, membaiki tandas, menyediakan kemudahan internet dan lain-lain.

Penswastaan tidak semestinya membebankan kerajaan. Dengan model kontrak berasaskan prestasi, pihak swasta boleh diberi insentif sekiranya memenuhi tahap kepuasan pengguna.

Tambahan pula, kos operasi boleh dikurangkan kerana kerajaan tidak lagi perlu menanggung gaji kakitangan sokongan atau perbelanjaan penyelenggaraan sepenuhnya.

Namun begitu, penswastaan perlu dilaksanakan secara berhati-hati. Pihak berkuasa perlu menetapkan garis panduan ketat berkenaan standard kualiti, prosedur keselamatan serta kebajikan pelajar.

Pemantauan berkala wajib dilakukan dan mekanisme aduan yang telus harus disediakan agar sebarang masalah dapat ditangani segera.

Selain itu, komunikasi berkesan dengan ibu bapa juga amat penting. Ibu bapa perlu dilibatkan dalam pemantauan kebajikan anak-anak mereka di asrama agar tidak wujud jurang maklumat antara pihak pengurusan dan keluarga.

Sekiranya dilaksanakan dengan betul, penswastaan pengurusan asrama mampu mengubah landskap kehidupan pelajar asrama kepada suasana yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk pembelajaran.

Guru pula akan lebih produktif dalam menjalankan tugas hakiki. Secara keseluruhannya, penswastaan pengurusan asrama berpotensi untuk memberi impak jangka panjang yang positif terhadap sistem pendidikan negara.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×