ALOR SETAR: Sebanyak 2,767 rumah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) daerah Kuala Muda dekat sini, akan menerima bantuan khas daripada kerajaan negeri esok.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bantuan khas itu berupa wang tunai dan barangan basah termasuk dua ekor ayam, dua kilogram ikan, sayur-sayuran serta sepapan telur ayam.
Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM373,545 bagi tujuan tersebut.
“Kerajaan sedar kesukaran penduduk terlibat untuk mendapatkan bekalan basah dan wang tunai memandangkan ada kawasan terbabit tidak mempunyai perkhidmatan perbankan serta mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelanjutan PKPD di tiga lokaliti dalam daerah Kuala Muda iaitu di Taman Bandar Sungai Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang hingga 1 Ogos depan.
Sebelum ini, penduduk di kawasan terlibat telah melalui PKPD selama dua minggu sejak 5 Julai hingga 18 Julai lalu.
Muhammad Sanusi memberitahu, bekalan makanan basah itu dibekalkan melalui petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
Katanya, bantuan tersebut akan diedarkan di Taman Bandar Baru, Taman Cahaya, Lembah Permai Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kampung Sireh.
“Selepas dua minggu dikenakan PKPD, penduduk di kawasan itu telah kehabisan wang tunai.
“Walaupun PKOB membekalkan bakul makanan, namun masalah ketiadaan wang tunai menyebabkan mereka tidak dapat membeli keperluan lain selain makanan,” katanya.
Jelasnya, bantuan khas wang tunai dan makanan basah itu akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim. – UTUSAN ONLINE










