PKPD: Penduduk dilarang pesan makanan  - Utusan Malaysia

PKPD: Penduduk dilarang pesan makanan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 11,900 penduduk termasuk pekerja kilang di dua lokaliti di daerah Kuala Muda yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dilarang membuat pesanan makanan dari luar kawasan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).  

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, larangan itu dikenakan untuk mengelakkan berlaku sentuhan yang boleh menjadi punca wabak Covid-19 terus menular dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, penduduk terlibat hanya dibenarkan membeli makanan dan barangan keperluan lain di beberapa buah premis perniagaan yang terdapat di dalam kawasan tersebut.

“Kita tidak benarkan bekalan makanan daripada luar termasuk daripada saudara mara, kawan atau penghantar makanan dibawa masuk ke kawasan PKPD sama ada melalui sekatan jalan raya (SJR) atau lorong tikus.

“Penduduk masih boleh mendapatkan bekalan makanan di premis sedia di dalam kawasan sekatan sedia ada atau menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Online di Sungai Lalang di sini pula mendapati masih ada pihak dari luar menghantar makanan kepada penduduk di Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai yang terlibat PKPD.

Dua lokaliti berkenaan iaitu di Sungai Lalang dan Bakar Arang dikenakan PKPD bermula pada 5 Julai hingga 18 Julai.

Adzli berkata, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak keluar dari rumah masing-masing tanpa urusan penting.

“Penduduk tidak perlu bimbang terputus bekalan makanan kerana kebajikan mereka terutamanya bekalan makanan sentiasa diambil tindakan proaktif pihak berkuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, tindakan tegas akan diambil ke atas penduduk di kawasan PKPD di daerah ini yang gagal mematuhi SOP PKPD. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN