SHAH ALAM: Sekiranya terdapat keperluan melantik Perdana Menteri baharu, penyandang kerusi nombor satu kerajaan itu seharusnya diberikan kepada UMNO melalui Perikatan Nasional (PN).
Saranan itu dibuat seandainya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa melepaskan jawatan apabila kedudukannya dapat dipertikai melalui undian dalam proses ungkai Ordinan Darurat jika dibentang dalam Dewan Rakyat, Isnin ini.
Perkara itu disarankan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO,Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah, yang memaklumkan cadangan dibuat disebabkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) melalui pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu terbukti membawa banyak kejayaan kepada negara.
“Saya juga menyeru UMNO terus menyokong kerajaan PN pada hari ini demi kesejahteraan orang-orang Melayu dan kaum-kaum lain termasuk Sabah dan Sarawak kerana kestabilan ini akan dapat membantu negara untuk terus maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian rententan daripada isu pembatalan Ordinan Darurat 2021 oleh pihak kerajaan melalui kenyataan yang dibuat di Parlimen oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Isu berkenaan menyebabkan Mesyuarat Khas Penggal Parlimen Ke-14 semalam menjadi hangat dengan pertikaian antara Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Ibrahim menambah, Ahli Parlimen tidak sewajarnya meletakkan kesalahan itu kepada Perdana Menteri susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Takiyuddin dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu.
Katanya lagi, berikutan pertelingkahan sepanjang empat hari persidangan Parlimen yang bermula Isnin lalu, beliau merasakan ‘tempoh bertenang’ perlu dilakukan oleh Istana Negara jika terdapat keperluan melantik Perdana Menteri baharu.
“Tempoh bertenang ini adalah untuk memberi peluang kepada Ahli-Ahli Parlimen menenangkan fikiran dan bermuhasabah diri.
“Ini merupakan pilihan terbaik yang boleh dilakukan buat masa ini kerana jika kita tergopoh-gapah memilih Perdana Menteri baharu, saya khuatir situasi yang sama bakal berulang kerana kerajaan pada hari ini masih belum dapat membuktikan sokongan majoriti di Parlimen.
“Walaupun akan ada beberapa pihak yang tidak selesa dengan keputusan ini, namun usaha iyu harus dilakukan demi kestabilan negara pada hari ini. Ahli-Ahli Parlimen juga disarankan untuk pulang ke kawasan masing-masing membantu rakyat di bawah pada waktu yang sukar ini,” ujarnya.
Beliau menambah, sebelum melantik Perdana Menteri baharu di dalam tempoh bertenang ini, baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik satu Jawatankuasa Kecemasan Negara yang terdiri daripada individu-individu yang berkecuali daripada politik.
Ujarnya lagi, pihaknya merasakan jawatankuasa tersebut boleh dilantik dalam kalangan bekas Ketua Hakim Negara, bekas Ketua Polis Negara, bekas Ketua Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Negara termasuk Penjawat-Penjawat Awam Kanan, pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan keselamatan.
“Pelaksanaan Jawatankuasa ini mampu untuk menyusun strategi dan Dasar Kerajaan, memulihkan kembali ekonomi negara serta menyelesaikan masalah politik yang berlaku pada hari ini termasuk masalah peningkatan kes Covid-19.
“Jawatankuasa ini hanya bertindak dalam tempoh 60 hari sebelum pelantikan Perdana Menteri baharu dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong,”katanya.
Dalam tempoh bertenang ini kata Ibrahim lagi, baginda berhak untuk meneliti semula keupayaan kerajaan pada hari ini dan berhak untuk membuat apa-apa keputusan yang dirasakan perlu pada hemat baginda.
Selepas tempoh bertenang 60 hari jelasnya lagi, Ahli-Ahli Parlimen akan diminta untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan pelantikan PM yang baharu.
“Kita amat bersyukur jika pelantikan Perdana Menteri yang baharu itu terdiri daripada Ahli Parlimen yang mampu memperoleh lebih 112 sokongan bahkan sokongan dua pertiga majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Jumlah sokongan ini amat penting bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan sesebuah kerajaan yang dibentuk. Namun, jika sekiranya masalah pergolakan politik dan perebutan kuasa masih juga berterusan maka saya mencadangkan agar pelaksanaan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) secara total dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN ONLINE