LANGKAWI: Seorang pesara bomba meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berbasikal di Kampung Lubok Setol di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Bahadun Ibrahim, 60, dilaporkan tiba-tiba pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha.
Anaknya, Mohd. Faiz, 28, berkata, bapanya kemudian disahkan meninggal dunia semasa dirawat di hospital tersebut kira-kira pukul 10.10 malam kelmarin.
“Pada petang semalam, bapa saya kayuh basikal secara santai pusing-pusing sekitar kampung sebelum dia dikatakan pengsan.
“Kemudian anak jiran menghantar bapa ke hospital untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pihak hospital mengesahkan punca kematian arwah adalah akibat serangan jantung.
“Ibu dan kami empat beradik reda dengan pemergian bapa walaupun tidak menyangka ia berlaku dengan begitu cepat,” katanya.
Allahyarham Bahadun yang bersara wajib pada Januari lalu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Setol di sini hari ini.










