PUTRAJAYA: Pendaftaran permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang belum pernah menerima geran tersebut sebelum ini boleh berbuat demikian mulai hari ini hingga 31 Julai ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dengan adanya proses pendaftaran baharu itu, sebahagian dalam kalangan PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP masih diberi ruang mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula.
Beliau menjelaskan, PKS mikro yang layak untuk GKP 4.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 30 Jun lalu.
“Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui portal GKP iaitu https://gkp.hasil.gov.my. Untuk maklumat lanjut, pemohon GKP boleh merujuk soalan lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi GKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.1 bilion.
Katanya, kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.
Beliau berkata, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun lalu, kerajaan terus komited untuk menyokong sektor perniagaan khususnya PKS mikro melalui GKP 4.0.
Jelas beliau, ia bertujuan meringankan beban kewangan PKS mikro agar mereka mampu mengharungi tempoh yang masih mencabar pada ketika ini.
“Peruntukan GKP 4.0 ialah sebanyak RM1 bilion di mana bayaran akan dibuat pada September ini (RM500) dan November berikutnya (RM500) melibatkan penerima GKP sedia ada dan juga pemohon yang baharu diluluskan.
“Penerima GKP sedia ada tidak perlu membuat sebarang permohonan,” katanya.