Penjagaan implan gigi untuk kekal lama

Penjagaan implan gigi untuk kekal lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Implan pergigian telah mengubah pergigian moden. Walaupun mahal, ia kelihatan semula jadi, kuat dan stabil seperti gigi asli. Malah, apabila dijaga dengan baik boleh bertahan selama bertahun-tahun.

Namun, implan pergigian perlu diselenggara dan ia juga tidak dijamin untuk kekal selama-lamanya.

Kelangsungan jangka panjangnya sangat bergantung kepada penjagaan selepas implan dipasang.

Pakar periodontik dan implan pergigian Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM), Dr. Norul Husna Mohamad Hassan berkata, ramai pesakit menyangka cabaran berakhir selepas pembedahan implan, sedangkan hakikatnya kejayaan sebenar bermula apabila korona dipasang dan implan digunakan.

Tanpa penjagaan serta penyelenggaraan berterusan, implan tetap berisiko gagal walaupun dipasang dengan sempurna.

Sama seperti gigi asli boleh mengalami penyakit gusi, penyakit peri-implan juga boleh terjadi di sekeliling implan.

Ini adalah keradangan yang menjejaskan tisu gusi dan tulang di sekeliling implan yang membawa kepada kehausan tulang dan akhirnya mendedahkan permukaan kasar badan implan yang berbenang.

Tidak seperti implan perubatan lain, sebahagian daripada implan pergigian iaitu bahagian kolar licin di bawah korona terdedah kepada persekitaran mulut yang mengandungi lebih daripada 700 spesies bakteria.

“Jika bahagian ini tidak diberus dengan teliti, plak gigi di sekelilingnya akan mengeras menjadi karang gigi, sama seperti yang terdapat di sekeliling gigi.

“Adalah lebih mudah untuk merawat penyakit gusi kerana permukaan akar gigi yang licin daripada membersihkan permukaan kasar implan yang terdedah kerana benangnya,” katanya.

Tambahnya, penyakit peri-implan sebenarnya jauh lebih kerap berlaku.

Berdasarkan kajian semasa, radang mukosa peri-implan terjadi kepada kira-kira 40 hingga 60 peratus pesakit implan manakala peri-implantitis boleh menjejaskan 15 ke 30 peratus implan, bergantung kepada populasi yang dikaji. Ini bermakna sekurang-kurangnya 1 dalam 6 implan mungkin mengalami masalah ini jika penjagaan pencegahan diabaikan.

Satu kajian yang dijalankan di Sweden pada 2022 menunjukkan walaupun purata kos penyelenggaraan implan selama lapan tahun hanya rendah sedikit daripada kos pemasangan satu implan gigi tunggal, kos merawat komplikasi boleh mencecah sehingga dua kali ganda bagi setiap kejadian.

 

PELABURAN EMOSI, FIZIKAL
“Implan pergigian adalah pelaburan yang besar daripada segi kewangan, emosi dan fizikal.

“Pembedahan mungkin mengambil masa satu atau dua hari, tetapi mengekalkan kelangsungan implan memerlukan komitmen sepanjang hayat,” ujarnya.

Seperti peranti mahal lain, ia memerlukan penyelenggaraan berkala berterusan.

Penjagaan yang betul membolehkan implan berfungsi bertahun-tahun.

Tanpa penjagaan, sistem implan yang paling canggih juga tidak akan mampu bertahan lama.

“Memasang implan gigi hanyalah sebuah permulaan. Melindunginya adalah perkara yang benar-benar penting.

“Sehingga kini, hanya gabungan penjagaan di rumah yang optimum dan penyelenggaraan berkala di klinik gigi terbukti dapat mencegah penyakit peri-implan.

“Jadi, jika anda mempunyai implan pergigian atau sedang mempertimbangkan untuk memasang satu, ingat implan pergigian tidak kekal selamanya. Tetapi dengan penjagaan yang betul, ia boleh bertahan lama,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN