LIPIS: Penduduk yang terjejas pendapatan dan memerlukan bantuan diminta menghubungi ibu pejabat polis daerah (IPD) dan balai polis berdekatan tempat tinggal supaya sumbangan dapat segera disalurkan bagi meringankan beban kesusahan mereka.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mereka yang memerlukan bantuan bekalan makanan boleh menghubungi talian tetap IPD yang tertera di laman sosial Facebook dan balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing.
“Skuad Amanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) segera turun ke lapangan bagi melakukan penugasan untuk menyampaikan bantuan berkenaan.
“Kita berharap penugasan Op Bantu PDRM dapat diberikan segera kepada mana-mana individu yang terputus bekalan makanan,” katanya sempena Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Merapoh dan Kampung Gua di sini semalam.
Yang hadir sama, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor.
Sempena lawatan itu, Mohd. Yusri menyantuni 26 buah keluarga yang terkesan dengan ancaman pandemik Covid-19 dengan memberikan sumbangan bakul makanan yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan IPD Lipis sempena Op Bantu. – UTUSAN ONLINE










