PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi penjelasan yang jelas dan lebih mendalam mengenai beberapa perkara kepada semua ahli Parlimen supaya perkara itu dapat disampaikan kepada umum menerusi sidang khas Parlimen hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata dalam hal ini, terdapat lima perkara yang perlu menjadi fokus dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Jelas beliau, isu pertama adalah membabitkan pakej bantuan yang diberikan kepada rakyat di mana ia perlu dijelaskan mengenai berapa ramai penerima yang telah menerima pakej bantuan tersebut.
“Kita sedia maklum ia dilaksanakan di bawah Kementerian Kewangan yang memantau status pelaksanaannya. Jadi saya fikir mesti ada penjelasan dengan status pelaksanaan, bukan sekadar berapa banyak yang sudah dibelanjakan, tetapi berapa ramai penerima yang telah terima berbanding berapa ramai yang memerlukan. Kalau sekadar maklumkan angka sahaja saya fikir itu bukan mencapai potensi taklimat yang bagus.
“Penjelasan kedua adalah fasa pemulihan negara, fasa satu ke fasa dua. Kalau kita lihat pengumuman asal nak beralih dari fasa 1 ke 2 ini, ada 3 syarat iaitu purata kes harian bawah 4,000 ke bawah, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) sederhana dan kadar vaksinasi 10 peratus.
“Kalau tengok syarat ini, hanya satu sahaja yang telah dicapai. Sebab kadar vaksinasi di Malaysia sudah melebihi 15 peratus. Jadi kalau syarat lain tak dipenuhi masih tak boleh keluar dari fasa kedua,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Shahril berkata, kerajaan perlu menjelaskan industri manakah yang boleh beroperasi dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara susulan pertikaian banyak pihak tentang syarikat ‘essential’ dan sebaliknya.
“Kalau ikut asal, semua tidak boleh buka, melainkan yang disebut boleh beroperasi, tetapi sekarang kita lihat ada pertikaian syarikat-syarikat, yang mana kilang dibenarkan operasi dan yang mana tidak boleh beroperasi.
“Kalau nak alih fasa 1 ke 2, mesti ada penjelasan kriteria apa yang menentukan industri dan sektor mana yang boleh buka, bukan kenyataan umum seperti ‘essential’.
“Pada saya itu ungkapan berongga. Sebab tidak ada siapa boleh setuju dgn apa makna ‘essential’ dan tidak ‘essential’,” katanya.
Begitu juga dengan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kelonggaran yang sudah lengkap vaksinasinya di mana tambah Shahril, kerajaan perlu memperincikan mengenai perkara itu.
“Mereka yang divaksinasi dua kali mungkin diberi kelonggaran tapi perincian mesti jelas supaya boleh ditambah baik oleh ahli Parlimen, jika benar nak beralih kepada realiti baru bahawa kita tidak boleh tunggu Covid-19 menjadi sifar, baru kita boleh buka ekonomi sedikit demi sedikit.
“Garis masa saya fikir semakin baik dan ia dikemas kini dalam kenyataan Kementerian Kesihatan. Tetapi sidang Parlimen adalah medan terbaik untuk jelaskan kepada semua ahli Parlimen kerana ada peluang dan akses untuk menambah baik operasi dan tingkatan kadar pendaftaran vaksin kerana kadar pendaftaran masih lagi rendah, Sabah 37 peratus, Kelantan 60 peratus,” katanya.
Tambahnya, dalam hal ini, usaha perlu dibuat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya peranan dapat dimainkan sepenuhnya untuk mencapai vaksinasi untuk masyarakat seluruhnya.










