KUANTAN: Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menyokong penuh tuntutan penyelesaian isu pegawai-pegawai perubatan junior bertaraf kontrak untuk diberikan jawatan bertaraf tetap.
Ini kerana sektor kesihatan dan perubatan sentiasa diperakui sebagai bidang asas, utama dan penting dalam kehidupan manusia.
Tindakan kerajaan mesti selari dengannya iaitu mengutamakan pengiktirafan dan layanan yang sewajarnya kepada petugas-petugas kesihatan.
Presidennya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, Perdim mendesak pihak berwajib segera memberikan perhatian dan menyelesaikan masalah tuntutan itu yang telah berlarutan sekian lama.
Beliau berkata, Perdim dan ahli-ahlinya juga akan bersama-sama menyokong ‘Black Monday’ yang dirancang pada 12 Julai ini.
“Ia sebagai tanda protes secara aman terhadap ketidakadilan terhadap pegawai-pegawai perubatan junior bertaraf kontrak.
“Bagaimanapun, Perdim berpendirian tegas bahawa isu berkenaan (doktor kontrak) hendaklah diselesaikan secara rundingan dan juga perbincangan.
“Bukan secara mogok, raptai, ‘hartal’, ‘strike’ atau seumpamanya yang bertentangan dengan Kesopanan dan Kesusilaan, yang boleh memudaratkan rakyat dan negara ini,” katanya.










