Perdana Menteri interim dipantau badan perundingan - Utusan Malaysia

Perdana Menteri interim dipantau badan perundingan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelantikan Perdana Menteri interim menjadi antara langkah dalam menangani ketidakstabilan politik selepas UMNO mengambil keputusan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, pelantikan Perdana Menteri interim tersebut hanya boleh berlaku jika Parlimen terlebih dahulu dibubarkan.

Pembubaran Parlimen boleh berlaku atas nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, atau di bawah Perkara 43(4) atas permintaan Perdana Menteri jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati beliau tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Seterusnya, pelantikan Perdana Menteri interim itu akan bersekali dengan Kabinet yang popular dengan panggilan ‘caretaker government’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Muhyiddin boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa dari sekarang dengan Yang di-Pertuan Agong berhak mendapatkan maklumat alasan tujuan itu dibuat.

Alasan itu penting buat Yang di-Pertuan Agong menentukan pertimbangan itu berlaku atas nasihat atau permintaan Perdana Menteri. Jika ia berlaku di bawah Perkara 43 (4), maka itu bersifat permintaan yang boleu ditolak oleh Seri Paduka, maka jemaah menteri perlu meletak jawatan.

Katanya, melalui Perkara 43 fasal 2 (b), apabila Parlimen dibubarkan maka Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri dan menteri-menteri dalam kalangan ahli-ahli Parlimen pada penggal sebelum pembubaran Parlimen dan Muhyiddin layak dipertimbangkan sebagai Perdana Menteri interim.

Bagaimanapun katanya, jika Muhyiddin hilang kepercayaan di dalam Dewan Rakyat seterusnya dibubarkan Parlimen, peluang untuk Muhyiddin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri interim sehingga pilihan raya umum mungkin agak tipis.

“Jadinya, sebelum 1 Ogos iaitu darurat ditamatkan, jika Parlimen dibubarkan, Yang di-Pertuan Agong boleh menimbangkan sebuah ordinan bagi menubuhkan badan perundingan yang berfungsi seperti Parlimen untuk memantau dan semak keputusan badan eksekutif serta menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam ordinan pembekalan.

“Satu amalan yang baik dan wajar jika Perdana Menteri (menasihati Yang di-Pertuan Agong) memanggil mesyuarat khas lebih awal dari tarikh 26 Julai 2021 untuk menguji undi kepercayaan kepada beliau demi menghormati prinsip Perlembagaan bahawa seorang Perdana Menteri perlu mengekalkan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Muhyiddin kekal Perdana Menteri walaupun Malaysia sekali lagi terjerumus dalam kemelut politik kedua dalam tempoh 18 bulan selepas ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada ‘keruntuhan’ Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dalam satu kenyataan memaklumkan, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sebelum itu, UMNO menuntut Muhyiddin mengundur diri daripada jawatan Perdana Menteri.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan tempoh memberikan sokongan kepada Perdana Menteri ditarik balik dan ditamat serta-merta.

Tambah Wan Ahmad Fauzi, dalam tempoh kerajaan interim itu, Parlimen sudah terbubar dan pilihan raya perlu diadakan sebelum 1 April 2022.

Justeru katanya, jika ini berlaku badan perundingan difikirkan perlu untuk menyemak serta memantau keputusan kerajaan interim tersebut.

“Perdana Menteri interim itu dilihat mungkin menjadi antara salah satu langkah dalam menangani ketidakstabilan politik ketika ini. Selepas darurat berakhir, ordinan terus berkuat kuasa dalam tempoh enam bulan dan apabila habis tempoh itu perlu diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN