Perak tingkat vaksinasi fasa 2 PKP - Utusan Malaysia

Perak tingkat vaksinasi fasa 2 PKP

SAARANI Mohamad (kanan) dan Ahmad Faizal Azumu (kiri) beramah mesra bersama penerima vaksin Covid-19 pada program vaksinasi Perkampungan Orang Asal di Kampung Chadak, Ulu Kinta, Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak akan meningkatkan jumlah penduduk untuk menerima vaksin Covid-19 dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa esok apabila dijadualkan menerima 688,000 dos vaksin pada bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, 147,000 dos pertama dijangka tiba minggu depan.

Menurutnya, sekiranya dos berkenaan tiba seperti yang dijadualkan, Perak dijangka mampu merekodkan kadar suntikan vaksin antara 25,000 hingga 30,000 sehari.

“Kadar itu mampu dicapai memandangkan Perak kini mempunyai 101 fasiliti pusat pemberian vaksin (PPV) meliputi 31 PPV awam dan hospital kerajaan serta 70 PPV klinik dan hospital swasta,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Outreach Vaksinasi Penduduk Orang Asli di Kampung Chadak, Ulu Kinta dekat sini sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Saarani berkata, program vaksinasi Perak turut merekodkan pencapaian yang signifikan sepanjang minggu ini apabila jumlah suntikan harian menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

Menurut beliau, sebagai contoh, Perak merekodkan 14,402 suntikan harian pada 30 Jun lalu dan jumlah itu bertambah menjadi 15,918 pada 1 Julai dan terus meningkat pada kadar 19,341 pada 2 Julai.

“Momentum ini didorong pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk program jangkauan komuniti atau ‘outreach’ yang dilaksanakan secara agresif sejak 11 Mei lalu.

“Bagi meningkatkan lagi kapasiti vaksinasi, Perak bercadang untuk menambah penglibatan lebih banyak hospital dan klinik swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Mengenai Perak yang disenarai memasuki fasa kedua PKP 3.0, Saarani berkata, Perak melepasi standard nilai ambang yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, dari segi kes Covid-19 yang ditetapkan ialah tidak lebih 307 kes dan negeri ini mencatat di bawah purata angka berkenaan dengan 101 kes semalam.

Katanya, dari bilangan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital, kadar yang ditetapkan ia mesti mesti di bawah 70 peratus dan Perak mencatat pengguna katil ICU di hospital pada kadar 27 peratus.

“Dari segi vaksinasi pula, kadar yang ditetapkan ialah sekurang-kurangnya 10 peratus dan dalam hal ini, vaksinasi di Perak sudah melepasi 10 peratus yang membolehkan negeri ini diletakkan dalam fasa kedua PKP mulai esok.

“Lebih ramai orang mengambil vaksin, lagi kurang kes maka kita boleh pergi Fasa 3 PKP,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN