PORT DICKSON: Empat penumpang sebuah bas berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki itu hilang kawalan dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki ketika melalui selekoh di Kilometer 8.3 Jalan Pantai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, kesemua mangsa iaitu empat penumpang bas henti-henti, pemandu bas dan pemandu lori tangki dilaporkan selamat serta tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati bas dari arah Port Dickson mahu ke Politeknik dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar besi pembahagi jalan di kanan bahu jalan.
“Pada masa sama, sebuah lori tangki dari arah Seremban menghala Port Dickson cuba mengelak dari melanggar bas tersebut, namun bergesel dengan bahagian tepi sebelah kiri bas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Kesemua penumpang bas tersebut tidak mengalami kecederaan dan telah beredar dari tempat kejadian selepas kemalangan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya. – UTUSAN ONLINE










