PUTRAJAYA: Kompleks Penjara Bentong di Pahang antara 25 lokaliti di tiga negeri bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada lusa hingga 6 Ogos ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti berkeluasan 55 hektar dan terletak di Mukim Sabai, Daerah Bentong itu turut meliputi kuarters kakitangan turut membabitkan keseluruhan 2,200 banduan di kompleks penjara yang dibuka sejak 2008 dan berada dalam gugusan Felda Mempaga.
Beliau menambah, turut diwartakan arahan sama ialah 14 lokaliti berbeza dalam Daerah Temerloh, antaranya, Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts, Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah.
Di Kelantan pula ujar beliau, tiga lokaliti dalam Jajahan Machang terlibat dilaksanakan PKPD iaitu Kampung Joh, Kampung Maka dan Kampung Dewan Besar, Labok, manakala di Sabah membabitkan Daerah Tuaran iaitu Kampung Pukak, Mukim Tengah dan Projek Perumahan Rakyat Gayang Ria, Mukim Berungis.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di tiga lokaliti di Terengganu yang sepatutnya berakhir esok terus disambung lagi membabitkan Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dalam Mukim Sura, Daerah Dungun.
Bagaimanapun, lima lagi lokaliti lain ditamatkan PKPD secara serentak esok antaranya Kawasan Perindustrian Bestgrade, Daerah Pokok Sena, Kedah, manakala selebihnya di Sabah meliputi dua lokaliti dalam Bahagian Tawau iaitu Ladang Sabah Mas Division, Segama, Daerah Lahad Datu serta Felda Umas 1, 3 dan 4 Daerah Kalabakan.
Baki dua lokaliti pula terletak di Fasa 4B, Taman Bukit, Sepanggar, Daerah Kota Kinabalu, Bahagian Pantai Barat dan Kampung Mangkubau Laut, Daerah Pitas, Bahagian Kudat. – UTUSAN ONLINE