PUTRAJAYA: Kesemua peniaga dan pekebun durian dari luar yang ingin memasuki ke Daerah Raub, Pahang perlu menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.
Menurut Jabatan Pertanian, arahan tegas berkuat kuasa serta-merta itu dikeluarkan sendiri oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail susulan penularan Covid-19 dikesan berlaku dalam kalangan peniaga dan pekebun di beberapa lokaliti daerah tersebut.
Sehubungan itu, beliau melalui surat kepada Pegawai Pertanian Daerah Raub, Nor Hazwani Abdul Aziz bertarikh 26 Julai lalu mengarahkan individu terbabit segera melakukan ujian PCR yang perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum perjalanan dan keputusan ujian diserah kepada pihak berkuasa di sekatan jalan raya sebagai bukti.
“Arahan terbaharu ini turut meliputi pemegang Surat Pengesahan Keterlibatan Dalam Aktiviti Rantaian Pembekalan dan Pemasaran Berkaitan Keperluan Makanan dikeluarkan agensi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Langkah berkenaan juga jelas Jabatan Pertanian, adalah sejajar kuasa-kuasa yang diberikan kepada Majlis Daerah Raub berdasarkan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mana Seksyen 72(1)(f)(i) akta tersebut menyebut, pihak berkuasa tempatan itu mempunyai kuasa bagi melindungi kesihatan awam serta mengambil segala langkah munasabah yang diperlukan.
Ini termasuk mencegah daripada berlakunya apa-apa penyakit berjangkit, atau boleh dicegah menerusi pindaan yang diwartakan pada 1995 lalu bagi mengekang penularan wabak tertentu.
Peniaga dan pekebun durian yang terlibat sekiranya ada pertanyaan, boleh menghubungi terus pihak majlis menerusi talian 09-3551267 atau 013-9657293 ketika waktu pejabat sahaja.
Daerah Raub yang berkeluasan 2,271 kilometer persegi itu, terletak 110 kilometer dari Kuala Lumpur dan cukup terkenal sebagai kawasan pengeluaran pelbagai varieti durian tempatan.