KUANTAN: Seorang peniaga buah kerugian RM414,932 akibat ditipu pembeli dalam urus niaga pembelian durian jenis Musang King, sejak 30 Jun lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 30 Jun lalu, mangsa berusia 29 tahun itu dihubungi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Yifong’ berhasrat membeli 10 bakul durian Musang King bergred A dan B dengan anggaran harga RM7,800.
Menurutnya, setelah selesai urusan pembelian mangsa telah didatangi seorang lelaki mendakwa dirinya adalah pekerja suspek dan memaklumkan pembayaran sudah dibuat ke dalam akaun syarikat melalui satu transaksi wang secara dalam talian.
“Suspek seterusnya menunjukkan bukti pembayaran yang telah dilakukan oleh majikannya dan mangsa terus mempercayainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Modus operandi digunakan oleh suspek adalah memperdaya mangsa dengan pembelian durian jenis Musang King.
Setelah urusan jual beli selesai dilakukan mangsa tidak mendapat sebarang bayaran daripada suspek namun hanya menunjukkan bukti transaksi yang palsu.
Mohd. Wazir berkata, sekitar awal Julai lalu mangsa sekali lagi didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Lok Kiam Thong membuat urusan pembelian buah durian dengan kaedah pembayaran sama.
“Urusan jual beli dan cara pembayaran yang dipersetujui tersebut telah berjalan selama sebulan bermula 1 Julai sehingga 27 Julai lalu.
“Mangsa kononnya telah menerima segala bukti pembayaran daripada suspek yang telah memasukkan duit pembelian durian ke dalam akaun bank mangsa secara dalam talian.
“Semalam, mangsa menyemak akaun miliknya pada Isnin lalu dan mendapatkan pengesahan pihak bank sekali gus mendapati tiada transaksi kemasukan wang ke dalam akaun milik syarikatnya menerusi 26 transaksi sebanyak RM414,932 yang kononnya dilakukan oleh suspek,” katanya.
Menurutnya, setelah merasakan dirinya ditipu dengan transaksi palsu dan mengalami kerugian yang banyak, mangsa membuat laporan polis di Ibu Polis Daerah (IPD) Raub dekat sini semalam.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.