PKP dan PKPD: Peniaga kedai cetak rugi RM10,000 sebulan

Peniaga kedai cetak rugi RM10,000 sebulan

AKIBAT pelaksanaan PKP dan PKPD, para peniaga kedai percetakan di Seksyen 2, Shah Alam mengalami kerugian kira-kira RM10,000 sebulan. – FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Para peniaga kedai percetakan di Seksyen 2 di sini meluahkan kesedihan perniagaan yang dibina hampir berkubur apabila tidak dapat beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Malah, kedai yang sebelum ini merupakan tumpuan pe­lajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berdekatan umpa­ma ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, sudahlah kekurangan pe­langgan akibat wabak pandemik, ditambah pula dengan arahan tutup ketika PKPD.

Salah seorang pengusaha ke­dai yang dikenali sebagai Abdullah, 51, berkata, tidak dapat membuka perniagaannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama, pada Mac tahun lalu menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 sebulan.

“Perniagaan yang dibina kira-kira 14 tahun lalu hampir berkubur dan sekiranya keada­an ini berterusan beberapa bulan lagi, saya mungkin terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos.

“Selain sewa kedai, saya juga menanggung perbelanjaan tiga orang pekerja yang merangkumi bayaran sewa rumah serta per­belanjaan makanan mereka,” kata­nya ketika ditemui dalam tinjau­an Utusan Malaysia, semalam.

Abdullah yang berhijrah ke Shah Alam daripada Kelantan, 31 tahun lalu berkata, dia bernasib baik kerana isterinya masih bekerja, sekali gus dapat membantu menampung perbelanjaan bulanan keluarga mereka.

Menurutnya, dia kini hanya mengambil tempahan bahan yang mahu dicetak oleh pe­langgannya melalui WhatsApp atau e-mail.

“Sebaik sahaja bahan itu siap dicetak, pelanggan datang ke kedai untuk mengambil bahan tersebut. Saya terpaksa ‘curi-curi’ berniaga kerana nak pastikan ada duit untuk bayar sewa kedai,” katanya dengan nada sedih.

Sementara itu, Abdullah meminta supaya Kerajaan Persekutuan dan Selangor serius menangani wabak Covid-19, malah dia menganggap dua kerajaan ini gagal melakukan perkara tersebut apabila masih membenarkan kilang dalam beberapa sektor ekonomi beroperasi.

“Saya takut lebih banyak perniagaan akan gulung tikar dan ekonomi negara terus merosot sekiranya situasi ini berterusan,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN