JOHOR BAHRU: Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menurut perintah menyembelih anaknya Ismail kerana taatnya kepada perintah Allah bukan sahaja perlu dihayati, tetapi juga perlu diamal dan ditamsilkan dalam kehidupan seharian.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu kerana kehidupan menuntut pelbagai pengorbanan kerana kehidupan adalah sebenarnya perjuangan.
Menurut beliau, saban tahun sambutan perayaan Aidiladha menyaksikan kisah berkenaan hanya menjadi penceritaan di mimbar masjid dan tausiah sahaja.
“Berjuang untuk sesuap nasi setiap hari, berjuang untuk kehidupan lebih baik, berjuang melawan penyakit dan segala bentuk perjuangan lain. Dalam politik jua, ramai yang namanya berjuang tetapi entah apa yang ia perjuangkan tidak ketahuan.
“Adakah memperjuangkan kepentingan sebenar negara atau memperjuangkan agar kemaslahatan bangsa dirungkai agar terbit lebih banyak pembaikan, atau hanya sekadar memperjuangkan kedudukan kita, kerana enaknya kita dibuai dengan kuasa dan limpahan kenikmatan.
“Sunnah orang berjuang adalah untuk berkorban dengan sebenar-benar pengorbanan dituruti dengan sifat yang ikhlas dan selalunya pengorbanan menuntut kita mengorbankan kebahagiaan hari ini demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah bekas Menteri Besar Johor itu lagi, perjuangan UMNO bermula dengan semangat sedemikian iaitu untuk membina masa depan lebih baik dalam negara ini.
“UMNO yang lebih baik dan lebih maju hanya akan terbit dari semangat sebegini. Mengorbankan hari senang kita, kedudukan dan segala keenakan kuasa, demi parti yang lebih dihormati dan kalis masa hadapan.
“Semoga terbit dalam sanubari pendukung parti untuk senantiasa berkorban. Yakinlah, seperti yakinnya Rumi bila beliau berpesan, ‘Jangan berduka. Apa pun yang hilang darimu akan kembali lagi dalam wujud lain’.
“Insya-Allah, pengorbanan kita pasti akan terbit dan wujud kebaikan yang lain darinya,” ujarnya.
Mohamed Khaled turut memberitahu, ramai pihak yang mengorbankan kebahagian dan kesenangan hidup semasa demi kelangsungan dan kemandirian bangsa dan tanahair.
“Ramai sekali yang pulang tanpa pernah menikmati hidup yang lebih baik dan lebih senang serta bahagia, namun Malaysia yang mereka perjuangkan dan mereka tinggalkan, telah jadi lebih baik dan lebih berjaya.
“Teringat saya pesan Robert Louis Stevenson, seorang penyair Scottish, ‘don’t judge each day by the harvest you reap but by the seeds that you plant’,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










