Pemuda, Wanita UMNO Kedah desak Muhyiddin letak jawatan  - Utusan Malaysia

Pemuda, Wanita UMNO Kedah desak Muhyiddin letak jawatan 

Mohd. Fadzil Zolkipli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesemua 15 ketua pemuda UMNO bahagian di Kedah menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan serta-merta berikutan ‘penderhakaan’ dilakukan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd. Fadzil Zolkipli berkata, tindakan sama turut perlu diambil oleh kesemua anggota Kabinet dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Katanya, desakan itu juga dibuat berikutan penipuan fakta dan muslihat bagi menyembunyikan keputusan yang memberi impak besar kepada rakyat semata-mata bagi melindungi kepentingan kerajaan.

“Anggota Kabinet bertanggungjawab turut melepaskan jawatan dengan Perdana Menteri atas dasar tanggungjawab bersama dan kegagalan mereka bersuara menyanggah muslihat kerajaan berkaitan darurat.

“Tiada seorang pun dalam kalangan anggota Kabinet yang bersuara membantah tindakan salah kerajaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim menerusi satu kenyataan hari ini pula berpandangan, apa yang berlaku ketika ini amat mengaibkan serta mencacatkan sistem semak dan imbang dalam pemerintahan negara ini.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak hanya melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan, malah sanggup berbohong dan mengelirukan Dewan Rakyat seolah-olah Ordinan Darurat telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Langkah itu jelas satu penderhakaan yang jelas dengan niat membelakangkan fungsi baginda selaku ketua negara.

“Tindakan tidak bermoral Takiyuddin serta kerajaan ini bukan saja mengaibkan pihak istana malah satu langkah semberono yang boleh mencetuskan krisis Perlembagaan,” katanya.

Justeru katanya, Wanita UMNO Kedah mendesak Perdana Menteri memikul tanggungjawab ini sepenuhnya dengan meletakkan jawatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN