ARAU: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri disifatkan tepat pada masanya sekali gus meredakan ketegangan politik di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Online, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan tersebut secara tidak langsung mengukuhkan lagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Justeru, kata Ahli Parlimen Arau itu, seluruh pemimpin serta ahli parti itu diminta menyokong penuh keputusan tersebut demi kepentingan negara dan UMNO sendiri.
“Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut pula, diharap dapat berlapang dada menyokong Ismail Sabri.
“Alhamdulilah, pelantikan tersebut bakal meredakan keadaan yang tidak menentu ketika ini. Kami Bahagian Arau, Padang Besar menyokong penuh pelantikan tersebut,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri dalam satu kenyataan, melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan berkuat kuasa serta merta.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri serta membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
Sementara itu, Shahidan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin yang melantik Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin UMNO.
“Insya-Allah negara akan dipacu ke arah lebih baik selain meneruskan usaha dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC). – UTUSAN ONLINE