Pekerja sektor pengangkutan udara lega dapat vaksin - Utusan Malaysia

Pekerja sektor pengangkutan udara lega dapat vaksin

FARAH SABRINA RAYMOND RAFIQUE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Rata-rata pekerja sektor pengangkutan udara menarik nafas lega kerana berpeluang mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selepas dibuka kepada sektor berkenaan, mulai semalam.

Seorang penerima vaksin, Farah Sabrina Raymond Rafique, 29, berkata, peluang yang diberikan itu dapat memberi keyakinan untuk kembali bekerja selepas ini memandangkan tugasnya memerlukan dia berhadapan dengan orang ramai termasuk pesakit Covid-19.

Dia yang bekerja di kaunter syarikat penerbangan Qatar Airways berkata, pemberian vaksin awal kepada petugas sektor pengangkutan udara disifatkan wajar kerana mereka juga dianggap barisan hadapan di pintu masuk utama negara.

“Sebelum ini saya pernah berurusan dengan pesakit Covid-19 dan waktu itu memang rasa bimbang. Tapi bila dan dapat janji temu hari ini, rasa lega,” katanya ketika ditemui di Terminal Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin turun padang menyaksikan sendiri proses pemberian vaksin di KLIA yang juga dikategorikan pusat pemberian vaksin industri (PPVIN).

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Ahmad Syukri Salim, 27 dan Norliyanti Mhd Noor, 29, yang bekerja sebagai polis bantuan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, mereka berasa bertuah dan bersyukur kerana dapat divaksin bersama.

“Kami sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera sejak ia dibuka pada tahun lepas, namun masih tidak berpeluang untuk mendapatkan tarikh janji temu.

“Bagaimanapun, apabila dibuka kepada sektor ini, kami terus memaklumkan kepada pihak atasan dan bernasib baik kerana mendapat janji temu vaksinasi bersama,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsikan penyelia dalaman kabin Malaysia Airlines, Mas Ayu Kamas Masud, 57, yang turut menganggap program itu memberi kebaikan kepada masyarakat awam.

“Menerusi PICK dan pembukaan PPVIN KLIA ini, ia dapat memudahkan pekerja-pekerja di sektor ini dalam mendapatkan vaksin sekali gus membantu mencapai imuniti kelompok lebih cepat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN