IPOH: Pegawai khas kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang ditahan reman bersabit kes salah guna kuasa Selasa lalu, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Ia berikutan suruhanjaya berkenaan telah melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Nurfarah Syahidah Mohd. Noh mengeluarkan perintah tersebut selepas tempoh reman selama lima hari ke atas lelaki berusia 57 tahun itu tamat hari ini.
Beliau membenarkan lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin.
Lelaki itu membayar wang jaminan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan lelaki terbabit dibebaskan setelah direman lima hari bagi membantu siasatan.
Lelaki itu ditahan pada 12 Julai lalu di Pejabat SPRM Taiping ketika hadir memberi keterangan pada pukul 3.30 petang.
Difahamkan, lelaki tersebut telah menyalah guna jawatan dan kedudukannya selaku ahli lembaga sebuah koperasi pertanian dengan mencadang dan melantik syarikat miliknya sendiri bagi mendapatkan projek ternakan ikan.
Projek berkenaan dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) seluas 80.937 hektar di sebuah kawasan di Daerah Kerian yang telah dipajakkan kepada Koperasi Pertanian. – UTUSAN










